BULAN Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat seperti mana di bulan Ramadan, Rejab, Muharam dan lain-lain bulan. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadan.
Bulan Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam seperti bulan lain yang turut mempunyai kelebihan sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu oleh mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan-Nya.
Syaaban adalah antara bulan paling dicintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Baginda akan lebih banyak melakukan ibadat puasa pada bulan ini. Amalan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan ia juga sebagai latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Keistemewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan.
No comments:
Post a Comment